Total Pageviews

Tuesday, July 15, 2014

Israel Cabuli Genjatan Senjata

16 Julai 14 - GAZA CITY - Hanya beberapa jam selepas mempersetujui gencatan senjata, Israel sekali lagi mencabul perjanjian itu apabila melancarkan dua serangan udara ke Genting Gaza hari ini. Perkara itu turut disahkan oleh jurucakap tentera Israel, Leftenan Kolonel Peter Lerner. "Tentera Israel melancarkan bedilan ke Gaza pada pukul 3 petang ini (waktu tempatan)," katanya. Terdahulu, pergerakan Hamas dan sayap bersenjatanya, Briged al-Qassam menolak cadangan gencatan senjata yang dicadangkan Mesir selepas sangsi dengan keputusan Israel melaksanakan rancangan tersebut, ketika angka korban akibat konflik itu meningkat kepada 192 orang. Jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri berkata, pihaknya sangsi dengan janji Mesir dan Israel untuk mengurangkan sekatan di sempadan memandangkan perkara itu merupakan sebahagian daripada perjanjian damai bagi menamatkan pertempuran pada 2012, yang tidak pernah dilaksanakan. "Kami bukan sahaja mahu supaya serangan ini ditamatkan, tetapi juga ketidakadilan yang telah kami lalui sejak berpuluh-puluh tahun lalu. "Isu ini bukan hanya tentang gencatan senjata. Perkara paling penting adalah bagaimana kestabilan serta hak rakyat Palestin dapat dikembalikan agar kami dapat hidup dalam keadaan normal," katanya. Briged al-Qassam dalam laman webnya juga menyatakan, pihaknya akan meneruskan perjuangan mempertahankan penduduk Palestin sehingga objektif mereka tercapai. Dalam reaksinya kepada perkara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berikrar akan memperluaskan kempen ketenteraan terhadap Gaza jika Hamas terus menolak gencatan senjata. "Sekiranya Hamas tidak menerima usul gencatan senjata, Israel dengan bidang kuasa yang ada tidak teragak-agak memperluaskan aktiviti ketenteraan di Gaza bagi mencapai matlamat kami," katanya. Israel memulakan gencatan senjata sebelah pihak pada pukul 9 pagi ini waktu tempatan (2 petang waktu Malaysia). Beberapa jam sebelum gencatan senjata dilaksanakan, sebanyak enam rakyat Palestin maut sebelum rejim Yahudi itu menerima cadangan gencatan senjata. - Reuters/AFP.


Suami Isteri Maut Nahas

15 Julai 14 - RAUB - Sepasang suami isteri maut selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah van di Kilometer 332 Jalan Kuala Lumpur - Kota Bharu berhampiran Kampung Rokam, Sega, Dong di sini hari ini. Ketua Polis Daerah, Supritendan Wan Mohd. Samsudin Wan Osman berkata, kejadian kira-kira pukul 1.15 petang itu berlaku ketika mangsa, Muen Mokhtar, 76, dan isterinya, Esah Mat Nila, 72, dalam perjalanan ke arah Kuala Lipis. "Sebaik tiba di sebuah selekoh, kereta dipandu mangsa telah bertembung dengan sebuah van membawa muatan kelapa dari arah Raub. "Pelanggaran terbabit menyebabkan van yang datang dari arah bertentangan itu terbabas dan terbalik ke kiri jalan serta terbakar," katanya. Sementara itu, Wan Mohd. Samsudin berkata, kedua-dua mangsa yang tersepit di dalam kereta meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu van mengalami kecederaan parah. Tambahnya, mangsa yang maut dibawa ke Hospital Raub untuk bedah siasat manakala pemandu van mendapat rawatan di hospital yang sama. Dalam pada itu, beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 198 dan siasatan masih giat dilakukan. "Kita meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil ke Balai Polis Trafik atau berhubung dengan pegawai penyiasat bagi membantu siasatan," ujarnya. - Utusan Malaysia -


Zionis Laknat Kejam






Israel Guna Senjata Bahaya


16 Julai 14 - OSLO - NORWAY. Seorang doktor di Norway mendakwa rejim Zionis menggunakan bom yang boleh mendatangkan kesan buruk terhadap kesihatan penduduk Palestin.
Ketua jabatan perubatan sebuah hospital universiti di Oslo, Dr Erik Fossse memaklumkan Dense Inert Metal Explosive (Dime) tersebut adalah bahan letupan yang hanya boleh menyebabkan kemusnahan kecil dalam peperangan. Bagaimanapun, pakar berpendapat serpihan kecil letupan Dime mampu memberi kesan biologi sangat besar terhadap manusia. “Sebahagian penduduk Gaza mengalami kesan kecederaan akibat daripada penggunaan senjata baharu. Para doktor yang ada pengalaman merawat mangsa di zon perang sendiri tidak pernah melihat kes sebegini,” katanya. Menurutnya lagi, rejim Zionis turut menggunakan senjata seperti depleted uranium (DU) dan peluru meriam mengandungi fosforus putih, laporan dipetik dari Press TV. - Sinar Harian -


Pekerja Salun Dibelasah

15 Julai 14 - Kuala Terengganu: Seorang pekerja salun rambut bukan saja menanggung kesakitan apabila dibelasah tanpa sebab, tetapi turut menanggung malu apabila aksinya dipukul dirakam dalam kejadian berhampiran sebuah salun rambut di Jalan Sultan Sulaiman, di sini, Khamis lalu. Menurut sumber, kejadian dipercayai berlaku jam 12.30 tengah hari ketika remaja perempuan berusia 17 tahun berada di tempat kerjanya sebelum didatangi seorang perempuan yang memanggilnya supaya mengikutinya ke sebuah lorong kecil berhampiran kedai mangsa. Katanya, mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa akur dengan arahan wanita terbabit dan sebaik sampai di lokasi yang dimaksudnya, wanita terbabit menuduh mangsa menfitnahnya. Terkejut dengan tuduhan itu, mangsa menafikan dakwaan itu dan tindakan itu menyebabkan suspek naik angin sebelum memukul mangsa menggunakan topi keledar. Belum sempat mangsa berbuat apa-apa, seorang lagi rakan suspek muncul sebelum tiba-tiba menyepak dan memukul mangsa beberapa kali,” katanya. Sumber berkata, selain dibelasah, mangsa mendakwa seorang lagi rakan suspek turut merakam aksi dia dibelasah tanpa menghiraukan rayuan mangsa yang minta dilepaskan. Katanya, selepas puas membelasah mangsa, semua suspek beredar meninggalkan mangsa yang sedang kesakitan. Sebelum beredar, suspek turut mengugut akan memukul mangsa lagi sambil mengingatkan perkara itu belum selesai lagi menyebabkan mangsa ketakutan,” katanya. Susulan kejadian itu, mangsa yang bimbang keselamatannya membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut. Difahamkan, lima suspek berusia 18 hingga 30-an yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu ditahan polis beberapa jam selepas laporan dibuat bagi membantu siasatan. - Malaysian Insider -

Gadis Bertudung Mengamuk Kereta Baru Dilanggar

16 Julai 14 - Kuantan - Gara-gara keretanya dilanggar dari belakang, seorang wanita mengamuk, hilang pertimbangan dan aksi amukannya itu sempat dirakamkan pengguna jalan raya lain yang berada di tempat kejadian. Video berdurasi lebih dua minit itu menunjukkan seorang wanita berbaju hitam dan bertudung memukul kereta pemandu yang melanggarnya berulang kali dengan pengunci stereng dan meminta bayaran ganti rugi. "Bayar saya sekarang. Saya ambil kunci kereta kamu. Ini kereta baru, bodoh! Apa yang awak dah buat kepada kereta saya? Tengok!" katanya dan kemalangan itu menyebabkan kesesakan lalu lintas teruk pada waktu itu. Bagaimanapun, lelaki yang agak berusia yang melanggar keretanya itu tenang menghadapi  wanita itu. "Saya bukan sengaja. Jangan buat macam tu kepada saya," katanya yang dipercayai seorang lelaki Cina. Walaupun kemalangan itu hanya pelanggaran kecil, wanita itu meminta bayaran ganti rugi yang tidak masuk akal kepada lelaki itu. "Bayar saya sekarang RM2,000. Tengok plat kereta saya. Kereta baru lagi!" kata wanita yang memandu kereta Peugeot berwarna putih. Bagaimanapun, lelaki itu enggan membayar dan terpinga-pinga setelah kunci keretanya diambil.
"Saya akan bayar awak," katanya yang memandu Proton Wira model lama. Antara komen pengguna YouTube menyelar wanita itu adalah Muhd Zakwan: "Perempuan ni period ke sampai macam tak ada otak langsung." Ken Lawliet pula berkata:"Hei makcik. Awak tu Muslim. Tak patut bertindak macam tu. Guna pengunci kereta? Memalukan dan bodoh." Haaziq Khalid berkata:"Satu Malaysia benci kau. Kau patut hibernate dalam gua!"– Malaysian Insider.


Warga Emas Ditikam Dan Ditetak


6 Julai 14 - KOTA BHARU - Seorang lelaki warga emas maut selepas dipercayai ditikam dan ditetak dalam satu pergaduhan di rumahnya di Kampung Jerek Luar, Bertam, Gua Musang. Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, mangsa Isa Hamad, 64, dijumpai dalam keadaan terbaring dengan beberapa kesan tikaman di badan serta tetakan di bahagian kepala pada pukul 8 pagi semalam."Mangsa ditemui oleh menantunya selepas mendapat maklumat daripada jiran berhubung kejadian itu. Mangsa yang dihantar ke Hospital Gua Musang, meninggal dunia jam 7.15 malam tadi," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. Mazlan berkata, polis telah menahan seorang lelaki berumur 36 tahun untuk membantu siasatan. "Suspek telah direman selama seminggu bermula hari ini dan kita masih meneruskan siasatan berhubung kes itu. Kita percaya berlakunya pergaduhan," katanya. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Sementara itu isteri mangsa, Che Eshah Hamid, 58, ketika ditemui di rumahnya di Gua Musang itu berkata, ketika kejadian beliau baru tiba di rumah anaknya yang terletak tidak jauh dari situ. Dia kemudiannya bergegas pulang sebaik menerima berita berhubung kejadian itu. Katanya, sebaik tiba di rumah, dia mendapati suaminya dalam keadaan berlumuran darah.  - Bernama