Total Pageviews

Tuesday, July 15, 2014

Israel Cabuli Genjatan Senjata

16 Julai 14 - GAZA CITY - Hanya beberapa jam selepas mempersetujui gencatan senjata, Israel sekali lagi mencabul perjanjian itu apabila melancarkan dua serangan udara ke Genting Gaza hari ini. Perkara itu turut disahkan oleh jurucakap tentera Israel, Leftenan Kolonel Peter Lerner. "Tentera Israel melancarkan bedilan ke Gaza pada pukul 3 petang ini (waktu tempatan)," katanya. Terdahulu, pergerakan Hamas dan sayap bersenjatanya, Briged al-Qassam menolak cadangan gencatan senjata yang dicadangkan Mesir selepas sangsi dengan keputusan Israel melaksanakan rancangan tersebut, ketika angka korban akibat konflik itu meningkat kepada 192 orang. Jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri berkata, pihaknya sangsi dengan janji Mesir dan Israel untuk mengurangkan sekatan di sempadan memandangkan perkara itu merupakan sebahagian daripada perjanjian damai bagi menamatkan pertempuran pada 2012, yang tidak pernah dilaksanakan. "Kami bukan sahaja mahu supaya serangan ini ditamatkan, tetapi juga ketidakadilan yang telah kami lalui sejak berpuluh-puluh tahun lalu. "Isu ini bukan hanya tentang gencatan senjata. Perkara paling penting adalah bagaimana kestabilan serta hak rakyat Palestin dapat dikembalikan agar kami dapat hidup dalam keadaan normal," katanya. Briged al-Qassam dalam laman webnya juga menyatakan, pihaknya akan meneruskan perjuangan mempertahankan penduduk Palestin sehingga objektif mereka tercapai. Dalam reaksinya kepada perkara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berikrar akan memperluaskan kempen ketenteraan terhadap Gaza jika Hamas terus menolak gencatan senjata. "Sekiranya Hamas tidak menerima usul gencatan senjata, Israel dengan bidang kuasa yang ada tidak teragak-agak memperluaskan aktiviti ketenteraan di Gaza bagi mencapai matlamat kami," katanya. Israel memulakan gencatan senjata sebelah pihak pada pukul 9 pagi ini waktu tempatan (2 petang waktu Malaysia). Beberapa jam sebelum gencatan senjata dilaksanakan, sebanyak enam rakyat Palestin maut sebelum rejim Yahudi itu menerima cadangan gencatan senjata. - Reuters/AFP.


Suami Isteri Maut Nahas

15 Julai 14 - RAUB - Sepasang suami isteri maut selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah van di Kilometer 332 Jalan Kuala Lumpur - Kota Bharu berhampiran Kampung Rokam, Sega, Dong di sini hari ini. Ketua Polis Daerah, Supritendan Wan Mohd. Samsudin Wan Osman berkata, kejadian kira-kira pukul 1.15 petang itu berlaku ketika mangsa, Muen Mokhtar, 76, dan isterinya, Esah Mat Nila, 72, dalam perjalanan ke arah Kuala Lipis. "Sebaik tiba di sebuah selekoh, kereta dipandu mangsa telah bertembung dengan sebuah van membawa muatan kelapa dari arah Raub. "Pelanggaran terbabit menyebabkan van yang datang dari arah bertentangan itu terbabas dan terbalik ke kiri jalan serta terbakar," katanya. Sementara itu, Wan Mohd. Samsudin berkata, kedua-dua mangsa yang tersepit di dalam kereta meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu van mengalami kecederaan parah. Tambahnya, mangsa yang maut dibawa ke Hospital Raub untuk bedah siasat manakala pemandu van mendapat rawatan di hospital yang sama. Dalam pada itu, beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 198 dan siasatan masih giat dilakukan. "Kita meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil ke Balai Polis Trafik atau berhubung dengan pegawai penyiasat bagi membantu siasatan," ujarnya. - Utusan Malaysia -


Zionis Laknat Kejam






Israel Guna Senjata Bahaya


16 Julai 14 - OSLO - NORWAY. Seorang doktor di Norway mendakwa rejim Zionis menggunakan bom yang boleh mendatangkan kesan buruk terhadap kesihatan penduduk Palestin.
Ketua jabatan perubatan sebuah hospital universiti di Oslo, Dr Erik Fossse memaklumkan Dense Inert Metal Explosive (Dime) tersebut adalah bahan letupan yang hanya boleh menyebabkan kemusnahan kecil dalam peperangan. Bagaimanapun, pakar berpendapat serpihan kecil letupan Dime mampu memberi kesan biologi sangat besar terhadap manusia. “Sebahagian penduduk Gaza mengalami kesan kecederaan akibat daripada penggunaan senjata baharu. Para doktor yang ada pengalaman merawat mangsa di zon perang sendiri tidak pernah melihat kes sebegini,” katanya. Menurutnya lagi, rejim Zionis turut menggunakan senjata seperti depleted uranium (DU) dan peluru meriam mengandungi fosforus putih, laporan dipetik dari Press TV. - Sinar Harian -


Pekerja Salun Dibelasah

15 Julai 14 - Kuala Terengganu: Seorang pekerja salun rambut bukan saja menanggung kesakitan apabila dibelasah tanpa sebab, tetapi turut menanggung malu apabila aksinya dipukul dirakam dalam kejadian berhampiran sebuah salun rambut di Jalan Sultan Sulaiman, di sini, Khamis lalu. Menurut sumber, kejadian dipercayai berlaku jam 12.30 tengah hari ketika remaja perempuan berusia 17 tahun berada di tempat kerjanya sebelum didatangi seorang perempuan yang memanggilnya supaya mengikutinya ke sebuah lorong kecil berhampiran kedai mangsa. Katanya, mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa akur dengan arahan wanita terbabit dan sebaik sampai di lokasi yang dimaksudnya, wanita terbabit menuduh mangsa menfitnahnya. Terkejut dengan tuduhan itu, mangsa menafikan dakwaan itu dan tindakan itu menyebabkan suspek naik angin sebelum memukul mangsa menggunakan topi keledar. Belum sempat mangsa berbuat apa-apa, seorang lagi rakan suspek muncul sebelum tiba-tiba menyepak dan memukul mangsa beberapa kali,” katanya. Sumber berkata, selain dibelasah, mangsa mendakwa seorang lagi rakan suspek turut merakam aksi dia dibelasah tanpa menghiraukan rayuan mangsa yang minta dilepaskan. Katanya, selepas puas membelasah mangsa, semua suspek beredar meninggalkan mangsa yang sedang kesakitan. Sebelum beredar, suspek turut mengugut akan memukul mangsa lagi sambil mengingatkan perkara itu belum selesai lagi menyebabkan mangsa ketakutan,” katanya. Susulan kejadian itu, mangsa yang bimbang keselamatannya membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut. Difahamkan, lima suspek berusia 18 hingga 30-an yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu ditahan polis beberapa jam selepas laporan dibuat bagi membantu siasatan. - Malaysian Insider -

Gadis Bertudung Mengamuk Kereta Baru Dilanggar

16 Julai 14 - Kuantan - Gara-gara keretanya dilanggar dari belakang, seorang wanita mengamuk, hilang pertimbangan dan aksi amukannya itu sempat dirakamkan pengguna jalan raya lain yang berada di tempat kejadian. Video berdurasi lebih dua minit itu menunjukkan seorang wanita berbaju hitam dan bertudung memukul kereta pemandu yang melanggarnya berulang kali dengan pengunci stereng dan meminta bayaran ganti rugi. "Bayar saya sekarang. Saya ambil kunci kereta kamu. Ini kereta baru, bodoh! Apa yang awak dah buat kepada kereta saya? Tengok!" katanya dan kemalangan itu menyebabkan kesesakan lalu lintas teruk pada waktu itu. Bagaimanapun, lelaki yang agak berusia yang melanggar keretanya itu tenang menghadapi  wanita itu. "Saya bukan sengaja. Jangan buat macam tu kepada saya," katanya yang dipercayai seorang lelaki Cina. Walaupun kemalangan itu hanya pelanggaran kecil, wanita itu meminta bayaran ganti rugi yang tidak masuk akal kepada lelaki itu. "Bayar saya sekarang RM2,000. Tengok plat kereta saya. Kereta baru lagi!" kata wanita yang memandu kereta Peugeot berwarna putih. Bagaimanapun, lelaki itu enggan membayar dan terpinga-pinga setelah kunci keretanya diambil.
"Saya akan bayar awak," katanya yang memandu Proton Wira model lama. Antara komen pengguna YouTube menyelar wanita itu adalah Muhd Zakwan: "Perempuan ni period ke sampai macam tak ada otak langsung." Ken Lawliet pula berkata:"Hei makcik. Awak tu Muslim. Tak patut bertindak macam tu. Guna pengunci kereta? Memalukan dan bodoh." Haaziq Khalid berkata:"Satu Malaysia benci kau. Kau patut hibernate dalam gua!"– Malaysian Insider.


Warga Emas Ditikam Dan Ditetak


6 Julai 14 - KOTA BHARU - Seorang lelaki warga emas maut selepas dipercayai ditikam dan ditetak dalam satu pergaduhan di rumahnya di Kampung Jerek Luar, Bertam, Gua Musang. Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, mangsa Isa Hamad, 64, dijumpai dalam keadaan terbaring dengan beberapa kesan tikaman di badan serta tetakan di bahagian kepala pada pukul 8 pagi semalam."Mangsa ditemui oleh menantunya selepas mendapat maklumat daripada jiran berhubung kejadian itu. Mangsa yang dihantar ke Hospital Gua Musang, meninggal dunia jam 7.15 malam tadi," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. Mazlan berkata, polis telah menahan seorang lelaki berumur 36 tahun untuk membantu siasatan. "Suspek telah direman selama seminggu bermula hari ini dan kita masih meneruskan siasatan berhubung kes itu. Kita percaya berlakunya pergaduhan," katanya. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Sementara itu isteri mangsa, Che Eshah Hamid, 58, ketika ditemui di rumahnya di Gua Musang itu berkata, ketika kejadian beliau baru tiba di rumah anaknya yang terletak tidak jauh dari situ. Dia kemudiannya bergegas pulang sebaik menerima berita berhubung kejadian itu. Katanya, sebaik tiba di rumah, dia mendapati suaminya dalam keadaan berlumuran darah.  - Bernama

Disamun Ketika Siram Pokok Bunga


10 Julai 14 - BUKIT MERTAJAM - Seorang warga emas disamun dua utas rantai emas ketika menyiram pokok bunga di laman rumahnya di Permatang Kebun Sireh di sini Khamis lepas. Kejadian berlaku kira-kira jam 8.50 pagi apabila Salmah Saab, 72, didatangani enam lelaki yang menaiki tiga buah motosikal."Pada mulanya mak cik ingat mereka kawan-kawan anak mak cik dan mak cik biarkan sahaja mereka sebelum dua daripada mereka memeluk dan menekup muka mak cik sehingga menyebabkan mak cik sukar bernafas. "Seorang daripadanya menarik dua rantai emas yang mak cik pakai sebelum melarikan diri," katanya kepada pemberita semasa menerima kunjungan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, SAC Mazlan Kesah di rumahnya hari ini. Beliau berkata ketika kejadian beberapa anggota keluarganya berada di dalam rumah tetapi mereka tidak menyedari kejadian itu kerana pintu rumah tertutup. "Mak cik rugi RM13,000 dan leher mak cik luka," kata Salmah. Mazlan sebelum itu turut melawat N. Letchemy, 70, yang juga disamun dua lelaki dan seorang wanita yang menyamar sebagai pegawai banci di rumahnya di Permatang Batu, Bukit Tengah di sini Selasa lepas. Dalam kejadian jam 3 petang itu, mereka melarikan wang tunai RM10,000, beberapa utas rantai dan cincin emas miliknya. "Bila mereka masuk rumah saya, seorang daripadanya suruh saya duduk diam manakala dua lagi geledah rumah saya dan jumpa duit serta barang kemas saya," katanya. Mazlan berkata usaha mengesan mereka yang terlibat dalam dua kejadian itu giat dijalankan dan menasihati suri rumah terutama warga emas agar tidak melayan mana-mana pihak yang tidak dikenali. - Bernama.

Tujuh Beranak Disamun Ketika Sahur


12 Julai 14 - ROMPIN - Tujuh beranak disamun tiga lelaki dipercayai warga asing bersenjatakan parang dan kayu di rumah mereka di Penempatan Rompin Utama Tebu Hitam di sini, awal pagi semalam. Dalam kejadian pukul 2 pagi itu, mangsa berumur 46 tahun yang bekerjasebagai pemandu van ladang tembikai dan isteri, ibu mentua serta empat anaknya yang sedang tidur di bilik berasingan dikejutkan suspek sebelum dikumpulkan dalam satu bilik di tingkat bawah rumah dan diikat dengan dawai. "Selepas menggeledah rumah mangsa, suspek kemudian melarikan beberapa barang milik mangsa," kata Ketua Polis Daerah Rompin DSP Johari Jahaya kepada pemberita di sini hari ini. Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek  melarikan diri dengan menaiki kereta Perodua Kembara dan dua buah motosikal. Kata Johari, mangsa kehilangan sebuah Samsung tab, tiga buah telefon bimbit jenama Nokia, sebuah laptop jenama Asus, tiga utas jam tangan, kamera digital, al-Quran digital, buku bank, barang kemas, dua pisau pemotong daging dan wang tunai RM1,700 dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM7,200. Katanya suspek dipercayai masuk ke rumah mangsa dengan mengumpil pintu belakang. - Bernama

Dua Lelaki Samun Butik


16 Julai 14 - SHAH ALAM – “Mana duit? Jangan jerit, nanti aku bunuh!” Amaran dua penjenayah sambil mengacukan parang benar-benar menakutkan dua pekerja sebuah butik di Seksyen 7 di sini sehingga mereka tidak mampu berbuat apa-apa. Pemilik butik yang dikenali sebagai Amira, 30, berkata, kejadian Selasa lalu menyebabkan dia kerugian RM80,000. Amira berkata, dua lelaki yang menaiki motosikal itu berlegar-legar di luar butik berkenaan jam 11.36 pagi, sebelum memecah masuk butik itu. “Dua lelaki yang berusia dalam lingkungan 20-an itu merentap pintu yang berkunci, sebelum masuk ke dalam butik dan mengeluarkan parang yang disembunyikan dalam beg,” katanya. Menurutnya, suspek mengacukan parang ke arah leher pekerjanya sambil mengarahkannya menyerahkan barang kemas dan wang tunai. “Lelaki itu membawa lari dua komputer riba, telefon bimbit, barang kemas dan wang tunai. Kerugian dianggarkan RM8,000,” katanya. Amira berkata, dia bersyukur kedua-dua pekerjanya yang berusia 24 dan 27 tahun itu selamat. “Mereka segera menghubungi saya bagi memaklumkan kejadian itu. Mereka kemudian membuat laporan di Balai Polis Seksyen 9, di sini,” katanya. Menurutnya, polis mengambil kesan cap jari dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di butik itu, bagi membantu siasatan. “Saya turut memuat naik rakaman CCTV itu dalam laman sosial Facebook supaya orang ramai dapat membantu siasatan,” katanya. Rakaman berdurasi selama 3.22 minit itu menunjukkan kedua-dua lelaki itu mengarahkan dua pekerja berkenaan masuk ke dalam sebuah bilik, sebelum penjenayah terbabit mengambil barangan peribadi milik mangsa. Jurucakap polis berkata, pihaknya juga merakamkan keterangan mangsa bagi membantu siasatan. Orang ramai yang mengetahui maklumat berhubung kejadian itu boleh tampil ke balai polis berhampiran.- Sinar Harian -.


Hamas Rayu Roboh Kepungan Israel


20 Ogos 13 - GAZA - Pergerakan Hamas merayu kepada seluruh rakyat bebas di dunia untuk menggunakan segala usaha yang mungkin dapat merobohkan kepungan di Semenanjung Gaza terutama sekali selepas penutupan lintasan Rafah dan kemusnahan kebanyakan terowong. Jurucakap Hamas, Dr Sami Abu Zuhri dalam satu kenyataan berkata, pihaknya akan menganjurkan konvoi laut terbesar ke Gaza bagi memecahkan kepungan yang dilakukan tentera Israel. Sejak 2006, Semenanjung Gaza dikepung rejim Zionis tetapi keadaan semakin tegang apabila tentera Mesir bertindak memusnahkan terowong Rafah sekali gus menyekat kemasukan barangan keperluan rakyat Palestin ke wilayah pantai pada 30 Jun lalu. Dalam perkembangan lain, pergerakan Hamas mendakwa kepungan di wilayah Palestin merupakan kubur kemanusiaan terbesar di dunia. "Rejim Israel bertindak sedemikian bagi menjatuhkan ekonomi Palestin dan keadaan lebih teruk apabila penduduk berada dalam tekanan sekali gus membolehkan mereka mendapat persetujuan rundingan memihak kepada Yahudi," katanya.  - PIC.


Zionis Makin Kejam


13 Julai 14 - GAZA - Awal pagi semalam, dua masjid di Jebaliya dan Deir el Balah musnah terkena bedilan roket Zionis, dalam serangan digelar Operasi Perlindungan Sempadan yang memasuki hari kelima. Perbuatan itu dianggap makin kurang ajar dan kejam. Tidak terhenti di situ, semalam sahaja, Zionis meragut 16 lagi nyawa termasuk sembilan kanak-kanak di Deir el Balah dan di Beit Lahiya. Mungkinkah Zionis menggandakan serangan udara sebagai test market sebelum serangan darat dan laut dilancarkan, bagi melihat reaksi negara dunia. Jurucakap Hamas di Qatar Husam Badran berkata, ini adalah kali pertama Zionis menyasarkan masjid dalam serangan mereka sejak bermusuhan lebih berabad. “Pengeboman dua buah masjid di Gaza semalaman menunjukkan bagaimana kejamnya Zionis terhadap umat Islam. Serangan ini dapat membuka mata negara Islam antarabangsa supaya tampil membantu menghentikan serangan dan kekejaman ini,” katanya. Semalam, media tempatan melaporkan, tentera Israel ada menyiarkan beberapa gambar masjid untuk dibedil menerusi laman media sosial. Mereka mendakwa kumpulan pejuang  Hamas biasanya akan menggunakan masjid sebagai tempat bersembunyi dan menyembunyikan senjata melalui terowong bawah tanah. Sementara itu, jurucakap tentera Israel Leftenan Kolonel Peter Lerner mendakwa, pejuang Hamas  biasanya akan meletakkan penduduk Palestin di hadapan masjid bagi mengelakkan dibedil. “Taktik ini sudah dapat dibaca. Kini, apa juga cara sekali pun kami akan pastikan Gaza musnah seluruhnya. kami hanya menanti arahan pihak atasan untuk melakukan gempuran,” katanya.
Difahamkan sehingga semalam, Hamas sudah melepaskan 700 roket ke Israel dengan 130 daripadanya dapat dipintas oleh Iron Dome milik Israel. Israel mula meningkatkan tumpuan sasaran di 1,100 kawasan dalam Gaza setiap minit sepanjang tempoh 24 jam sejak lima hari lalu. Serangan makin sengit itu tidak menunjukkan tanda untuk ia dihentikan dan jauh sekali untuk mengisytiharkan gencatan senjata. - Sinar Harian - .


Zionis Kemaruk Darah Palestin


11 Julai 14 - GAZA - Hari ini adalah hari keempat Zionis melancarkan serangan di wilayah Gaza. Serangan kotor mencemarkan kesucian Ramadan itu begitu dirasai penduduk dunia terutama Malaysia.  ‘Laknatullah Zionis!’ dan ‘Berdoa untuk Gaza’ antara bait kata paling banyak digunakan di laman media sosial untuk melahirkan kebencian dan kesedihan terhadap apa yang berlaku di bumi Palestin kini.

Angka korban terus meningkat
Serangan udara Israel di selatan dan tengah Genting Gaza meragut 20 lagi nyawa semalam termasuk tujuh wanita dan kanak-kanak menjadikan angka korban sejak tiga hari lalu melonjak kepada 72 orang dan lebih 500 orang lagi cedera parah. Jurucakap perkhidmatan kecemasan Ashraf al-Qudra memaklumkan, dalam serangan pertama awal pagi semalam berlaku di sebuah kedai kopi di bandar Khan Yunis menyebabkan enam lelaki terbunuh dan sekurang-kurangnya 15 yang lain cedera. “Selang enam minit kemudian Zionis sekali lagi melancarkan serangan ke atas kem pelarian Nusseirat di tengah Gaza diikuti tiga minit kemudian serangan menyasarkan dua rumah di Khan Yunis hingga mengorbankan tujuh orang dengan tiga wanita dan empat kanak-kanak,” katanya. Difahamkan, puluhan siren serangan  roket kedengaran dan dilihat menghujani wilayah Palestin yang dikepung awal pagi semalam dalam operasi digelar Operasi Perlindungan Sempadan Israel. Operasi itu adalah kempen ketenteraan terbesar terhadap Gaza sejak 2012. Media tempatan melaporkan, pihak berkuasa Israel sebagai berkata, lebih daripada 200 roket ditembak ke Israel dari Gaza sejak Isnin lalu dengan beberapa serangan terbabit mencapai ke Tel Aviv. Serangan itu bagaimanapun dibalas dengan 550 bedilan roket dan serangan jet Israel dan memusnahkan sebahagian Bandar Gaza, Beit Hanoun dan Khan Younis. Menerusi paparan stesen televisyen antarabangsa, kelihatan puluhan kereta perisai Israel terus membuat rondaan di sempadan Gaza, selepas Kabinet menggerakkan 40,000 pasukan simpanan tentera mereka untuk melancarkan serangan darat. Namun, sehingga jam 8 malam waktu Malaysia, kesemua askar terbabit masih belum melakukan serangan darat dan dipercayai hanya menanti arahan dari pihak atasan. Bagaimanapun, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berterusan mengugut dan melakukan provokasi dengan menyatakan serangan akan dilakukan pada bila-bila masa. “Serangan ini tidak perlu diwar-warkan, jika semua pihak sudah mengetahui waktu serangan maka ia bukan lagi disebut serangan. Saya hanya menanti masa sesuai untuk mengarahkan 40,000 askar bertindak,” katanya dengan angkuh ketika ditemu bual media tempatan.


Serangan roket setiap minit

Sehingga semalam, lebih 200 serangan jarak jauh sudah dilakukan oleh Zionis ke Gaza. Mengikut laporan siaran langsung Al-Jazeera, sebanyak 38 serangan roket dibuat bermula jam 12.30 malam hingga 3.30 petang (waktu tempatan) jumlah itu berkurangan berbanding hari kedua dengan 53 serangan roket dilancarkan dalam tempoh 24 jam dan 54 serangan roket pada Isnin lalu. Media sama turut melaporkan, penduduk bertempiaran lari menyelamatkan diri setiap kali terdengar siren pelancaran roket. Penduduk tempatan, Muhammad Ali, 56, berkata, setiap kali terdengar bunyi siren mereka sekeluarga berpegangan tangan dan hanya menanti di manakah roket itu akan mendarat. “Hidup kami terseksa sejak tiga hari lalu. Terdengar sahaja bunyi siren, saya akan dengar ramai jiran dan rakan-rakan berteriak Allahu Akbar! dan Syahid! Kanak-kanak pula akan menangis dan menjerit. Golongan ibu akan memeluk erat anak mereka. Saya tidak tahu sampai bila kami harus terus hidup sebegini,” katanya. Baginya, Ramadan ini adalah ujian paling getir berbanding situasi sama yang pernah dialaminya ketika Intifada Pertama 27 tahun lalu.


PBB kutuk serangan

Awal pagi kelmarin, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Ban Ki-moon memberikan taklimat kecemasan kepada Majlis Keselamatan PBB bagi membincangkan situasi tidak menentu di wilayah Gaza. “Nyawa Gaza umpama pisau di hujung tanduk. Saya secara peribadi mengutuk keras serangan roket dilancarkan Israel. Serangan tidak boleh diterima dan mesti dihentikan segera. Saya menggesa Perdana Menteri Netanyahu untuk melakukan pengendalian maksimum dan menghormati hak asasi antarabangsa untuk melindungi orang awam, “ katanya. Menurutnya, kini adalah masa tepat untuk pemimpin keanggotaan memainkan peranan dan menggunakan kuasa yang ada untuk menghentikan tindakan kejam Zionis. “Saya menggesa Presiden Mesir, Abdel Fattah Al-Sisi untuk membantu memudahkan proses gencatan senjata seperti yang pernah dilakukan pada November 2012. Gaza dan negara serantau secara keseluruhan sudah tidak mampu untuk menghadapi perang besar-besaran,” katanya.

Intifada ketiga?
Jika benar dakwaan Netanyahu untuk mengerakkan 40,000 askarnya, maka tidak mustahil Intifada ketiga akan berlaku jika tiada pihak tampil menawarkan usaha untuk gencatan senjata.Mengimbau episod luka pada November 2012 ketika perang lapan hari yang mengorbankan 164 nyawa, serangan itu dihentikan hasil usaha bekas Presiden Mesir Mohammad Mursi yang ketika itu menjadi orang tengah antara Palestin dan Israel. Kini, serangan udara sudah dilakukan, serangan laut dan darat sedang siap sedia dan tidak mustahil akan berlaku peperangan besar jika negara dunia terus berdiam diri.Adakah permintaan PBB untuk meminta bantuan Al-Sisi bakal membuahkan kejayaan? Semalam sahaja, beliau mengarahkan 19 terowong di sempadan Mesir-Gaza dimusnahkan. Oleh itu, adakah Al-Sisi boleh bertindak seperti Mursi? - Sinar Harian.


Israel Umum Gempuran Paling Kuat


14 Julai 14 - GAZA - PALESTIN. Israel mengumumkan akan melakukan serangan darat bermula dari arah utara Genting Gaza dengan ‘gempuran paling kuat’ pada bila-bila masa bermula malam tadi. Jurucakap ketua tentera Israel, Brigedier Jeneral Motti Almoz berkata, persiapan akhir sudah dilakukan termasuk meletakkan kereta kebal di sepanjang perairan Palestin bagi mengelakkan ada campur tangan luar mahupun memberi ruang kepada pejuang Palestin meninggalkan kawasan mereka. “Kami akan menyerang dengan sepenuh daya dalam tempoh 24 jam akan datang. Ia dilakukan susulan peningkatan serangan Hamas terhadap kawasan kami,” katanya dalam laporan Al Arabiya. Bagi mempersiapkan serangan itu, difahamkan Israel mengarahkan penduduk Palestin mengosongkan rumah masing-masing dan mencari tempat perlindungan selamat. Bagaimanapun Kementerian Dalam Negeri Gaza berkata, amaran itu sekadar perang psikologi bagi menakutkan penduduk. “Kami gesa penduduk di utara abaikan arahan Israel. Pengumuman itu adalah usaha Zionis untuk mewujudkan kekeliruan di kalangan penduduk,” katanya. - Sinar Harian.


Gaza Kurang Ubat


14 Julai 14 - GAZA - PALESTIN. Serangan selama enam hari di Genting Gaza mengakibatkan hospital di bandar itu menghadapi kekurangan bekalan perubatan. Pengarah hospital Al-Wafa, Basman al-Ashi berkata, pusat penyimpanan perubatan dan hospital di Hospital Al-Shifa tidak dapat lagi menampung keperluan perubatan. “Kebanyakan kematian berlaku disebabkan kekurangan peralatan perubatan dan mesin sokongan hidup. Kami telah menggunakan semua simpanan ubat dan merancang untuk membeli ubat-ubatan dari luar jika serangan berlanjutan hingga seminggu lagi,” katanya dalam laporan Press Tv. Menurutnya, jika perang berterusan hospitalnya terpaksa menggunakan rizab sendiri bagi membeli keperluan perubatan yang sangat diperlukan. - Sinar Harian.


Israel Serang Gaza


8 Julai 14 - TEBING BARAT - PALESTIN. Sekurang-kurangnya sembilan pejuang Palestin terbunuh selepas Israel melancarkan serangan udara di tengah dan selatan Semenanjung Gaza, tengah malam semalam. Menurut Al Jazeera, Rejim Zionis menyasarkan tapak milik Briged Qassam, sayap bersenjata Hamas yang menguasai kawasan Genting Gaza di sekitar kawasan tinggalan lapangan terbang di luar bandar Rafah, berhampiran sempadan Israel. Dua pejuang dari pasukan Al Hussinin, kumpulan tentera milik Fatah maut ketika serangan menyasarkan kem pelarian Bureij di tengah Gaza, manakala tujuh pejuang dari pasukan Al Qassam, sayap bersenjata Hamas terbunuh apabila serangan udara melanda terowong Rafah, di selatan Gaza. Difahamkan, serangan tercetus selepas pembunuhan remaja berumur 16 tahun, Mohammed Abu Khdeir pada 2 Julai lalu yang menyebabkan pertempuran selama empat hari di Baitulmuqaddis dan puluhan bandar di Israel. 


Siapa Abu Bakr Al Baghdadi


7 Julai 14 - ABU Bakr al-Baghdadi kini dilantik sebagai Pemimpin Khalifah di Negara Islam oleh Kumpulan Negara Iraq dan Jajahannya (ISIL) juga dikenali Kumpulan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS). Pada 29 Jun lalu, kumpulan ini mengisytiharkan kewujudan semula Kerajaan Khalifah selepas ia dimansuhkan sejak kewujudan Empayar Uthmaniyyah pada 1924. Siapakah Abu Bakr sehingga beliau layak digelar dilantik sebagai ketua kumpulan itu?

Latar belakang
Nama sebenar Abu Bakr ialah Ibrahim Awwad Ibrahim Ali al-Badri. Beliau juga dikenali sebagai Dr Ibrahim atau Abu Dua. Identitinya terjawab selepas beliau membuat ucapan sulungnya semalam. Tindakan itu dilihat sama seperti pernah dilakukan Osama Laden atau penggantinya, Ayman al-Zawahiri. Menurut catatan biografi ditulis pengikutnya, Abu Bakr adalah bekas guru dan ulama ternama. Beliau adalah graduan dari Universiti Islam Baghdad dan berkelulusan Doktor Falsafah (Pendidikan) dan arif tentang kebudayaan Islam, Ilmu Syariah dan Fiqah. Abu Bakr yang fasih berpidato adalah keturunan bangsawan yang mempunyai hubungan luas dan pengaruh kuat di Diyala dan Samarra serta tokoh ternama dari penjihad Salafi. Bapanya, Syaikh Awwad adalah pemimpin disegani dalam suku mereka iaitu Al-Bu’Badri. Datuk Abu Bakr bernama Ibrahim Ali al-Badri pula terkenal dengan sikap pemurah.


Kepakaran Abu Bakr mempunyai kepakaran dalam ketenteraan terutamanya ketika menentang Amerika Syarikat (AS) selepas kematian Presiden Saddam Hussein pada 2003. Sepanjang konflik itu, beliau beberapa kali ditahan dan dibebaskan. Keghairahan beliau berjuang dikatakan memuncak ketika ditahan di Kem Bucca milik AS di Iraq pada 2007. Ketika dibebaskan pada 2009, Abu Bakr pernah memberi amaran kepada AS dengan kenyataan: ‘Saya akan berjumpa anda semua di New York’ dan kenyataan itu membimbangkan AS hingga melabelkan beliau sebagai pengganas paling dikehendaki. Selepas dibebaskan, beliau bersama beberapa pengikutnya menubuhkan kumpulan Jama’ah Jaisy iaitu gerakan yang aktif di wilayah Diyala, Samarra dan Baghdad dengan beliau dilantik sebagai ketua. Kumpulan itu kemudiannya bergabung dengan Majlis Syura Mujahidin yang sudah terwujud sejak Januari 2006. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Ketua Kabinet Syariah serta Ketua Majlis Syura Negara Islam Iraq. Bagaimanapun Ketua Kumpulan Syura Mujahidin ketika itu diketuai Abu Omar Al-Baghdadi Al-Husseini Al-Quraysyi (Hamid Al-Zawi).



Abu Bakr sertai ISIL, ISIS
Pada 13 Oktober 2006, Majlis Syura Negara Islam Iraq bergabung dengan empat lagi kumpulan dan menamakan kumpulan itu sebagai Kumpulan Negara Islam Iraq (ISI) sebagai pengganti Al-Qaeda. Empat tahun kemudian, selepas Abu Omar dibunuh AS, Abu Bakr mengisytiharkan revolusi Syria bagi membolehkan Abu Bakr mengembangkan sayap kumpulannya. Pada akhir 2011, Washington secara rasmi melabelkan Abu Bakr sebagai pengganas dan menawarkan AS$10 juta (RM32 juta) bagi sesiapa yang dapat menangkapnya. Abu Bakr kemudiannya menghantar Abu Mohammed al-Golani untuk mewujudkan Nusra Front bagi melawan rejim Presiden Syria, Bashar al-Assad.

Abu Bakr dan Ayman al-Zawahiri
Kejayaan Nusra Front merekrut ramai ahli memberi keyakinan kepada Abu Bakr untuk bergerak merentasi sempadan. Selepas pakatan gabungan dibentuk kumpulan itu mengelarkan mereka sebagai Kumpulan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS). Bagaimanapun, penggabungan itu dianggap tidak sah kerana melanggar dekri Ayman al-Zawahiri (pengganti Osama Laden) dan Abu Bakr harus kembali ke Iraq. Dalam temu bual di radio, Abu Bakr berkata, “Saya perlu memilih antara undang-undang ALLAH SWT dan undang-undang Al-Zawahiri, dan saya memilih undang-undang ALLAH SWT.” Sejak dari itu,  hubungan ISIS dan Al-Qaeda panas dan pada Februari 2014, Al-Qaeda mengeluarkan kenyataan kumpulan mereka tidak mempunyai kaitan dengan ISIS.

Pengaruh Abu Bakr di Syria
Pengaruh beliau amat kuat apabila dapat melebarkan pengaruh dan suaranya didengar oleh ahli dari peringkat akar umbi. Di bandar utara Raqqa, Syria, ISIS mengawal sepenuhnya bandar itu dengan menguatkuasakan undang-undang hudud. Keghairahan untuk menguasai beberapa bandar di Syria memadamkan sifat sebenar beliau sebagai ahli akademik seperti sebelum ini.  Ketika mahu menakluki beberapa bandar di Syria banyak nyawa terkorban termasuk wanita dan kanak-kanak. Namun siapa yang perlu dipersalahkan? ISIS iaitu kumpulan yang pada asalnya dari Iraq atau tentera Bashar yang mahu melindungi negaranya dari dirampas?.Seseorang pegawai penyiasat di Iraq memberitahu, sebilangan pemimpin organisasi dan bekas pemimpin hanpir tidak mengenali beliau kerana beliau kini memakai penutup muka.

Pengaruh Abu Bakr di Iraq dan potensi ke Asia
Satu pencapaian besar bagi ISIS adalah pada Jun lalu di mana kumpulan terbabit dapat menawan bandar kedua terbesar Iraq iaitu Mosul dan beberapa bandar kecil di utara negara itu.Tindakan terbabit mengundang kejutan terhadap kerajaan Perdana Menteri Iraq Nouri al-Maliki dan masyarakat antarabangsa.Oleh kerana tentera Nouri dan Assad mempunyai matlamat sama iaitu mahu menghapuskan ISIS maka ramai penganalisis berpendapat kumpulan itu mempunyai lebih berkuasa berbanding Al-Qaeda.Pakar Keselamatan Timur Tengah Paul Sullivan dari Universiti Georgetown berpendapat, ISIS boleh mencapai kejayaan dengan perjuangan mereka.“ISIS semakin berpengaruh dan sukar untuk mengawal ahli-ahli mereka. Kumpulan ini berkembang dengan cepat termasuk di beberapa negara di Asia. Mereka bukan golongan yang mudah untuk berbincang,” katanya. - Sinar Harian


6769 Banduan Kes Berulang


11 Jun 14 - KUALA LUMPUR - Kerajaan memandang serius kes kemasukan berulang atau residivis dalam kalangan banduan yang dipenjara. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, statistik Jabatan Penjara Malaysia bagi tahun lalu menunjukkan 6,769 banduan kes berulang. "Daripada jumlah tersebut, seramai 5,553 banduan merupakan banduan kes jenayah manakala 1,216 banduan kes berkaitan dadah. "Tempoh hukuman penjara bagi kesalahan-kesalahan tersebut bermula dari hukuman singkat ( bawah enam bulan) sehinggalah kepada hukuman seumur hidup (30 tahun)," katanya yang menjawab soalan Ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa, hari ini. Er Teck Hwa meminta kementerian menyatakan jumlah banduan yang ditahan di penjara bagi kesalahan kali pertama, kedua, ketiga dan keempat mengikut pecahan jenis kes jenayah dan hukuman. Menurut Ahmad Zahid, Jabatan Penjara Malaysia sentiasa menambahbaik program pemulihan supaya banduan tidak kembali melakukan jenayah selepas dibebaskan.
"Kementerian memandang serius kes kemasukan berulang kes kemasukan berulang di kalangan banduan dan telah menetapkan kadar residivis sebagai tanda aras prestasi kementerian. "Untuk makluman, kadar residivis bagi tahun 2013 ialah 7.61 peratus iaitu masih di bawah kadar residivis yang telah ditetapkan oleh kementerian iaitu 9 peratus," katanya. - Sinar Harian

'Imam Myanmar' Dipenjara Kerana Hal Remeh

16 Julai 14 - KUCHING - Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan berbincang dengan Ketua Setiausaha Kementeriannya, Ketua Pengarah Imigresen dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara berhubung tawaran menjadikan Muhammad Jamaluddin sebagai anak angkat. Beliau berkata, perbincangan dengan ketiga-tiga pihak adalah berkaitan proses perundangan dan dokumentasi yang diperlukan untuk menjadikan remaja itu anak angkat. Muhammad, 16 yang kini menjalani hukuman penjara di Penjara Machang, Kelantan menarik perhatian ramai di laman media sosial kerana kebolehannya menghafaz al-Quran dan menjadi imam di penjara itu. "Ada beberapa tawaran juga untuk mengambil beliau (Muhammad) sebagai anak angkat, tetapi elok saya berbincang bagaimana supaya proses legalisasi dokumentasi dapat dijalankan terlebih dahulu sebelum mengambil sebagai anak angkat," katanya. Ahmad Zahid berkata demikian dalam sidang akhbar selepas berucap pada Majlis Berbuka Puasa bersama warga kementerian di Masjid Al-Mujahiddin Kompleks Perumahan Polis, Tabuan Jaya di sini hari ini. Bagaimanapun, beliau menegaskan beliau tidak akan mencampuri urusan mahkamah yang telah menjatuhkan hukuman enam bulan penjara ke atas Muhammad kerana kesalahan berada di Malaysia melebihi tempoh. "Urusan menghukum ini adalah urusan mahkamah, maka saya tidak boleh menghina mahkamah dengan mengenepikan apa yang diputuskan" katanya. Muhammad pada mulanya disangka seorang remaja Rohingya, namun hasil siasatan mendapati ibu remaja itu merupakan warganegara Thailand manakala bapanya dari Kemboja. Ahmad Zahid mengarahkan Ketua Setiausaha kementeriannya Datuk Mohamad Khalid Shariff dan Ketua Pengarah Imigresen Aloyah Mamat ke penjara itu untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kebolehan Muhammad yang menarik minat pengikut laman media sosial. - Bernama.


Wednesday, July 9, 2014

Niat Murtadkan Teman Wanita

10 Julai 14 - Georgetown - Bercinta dengan wanita Islam membuatkan lelaki yang pernah bergelar seorang pendakwah agama cuba memurtadkan teman wanitanya itu pada awalnya. Azley Stanley berkata, ketika itu usianya baru saja mencecah 23 tahun dan sudah berniat untuk mengahwini wanita berkenaan. “Saya tinggal di perkampungan orang Melayu dan amat sukakan cara hidup mereka, sehinggakan saya sendiri bercadang untuk memilih isteri dari kalangan orang Melayu,” katanya. Aktif menyebarkan agamanya sendiri menyebabkan Azley membenci Islam dan salah satu puncanya apabila melihat ramai umat Islam yang tidak melaksanakan tuntutan agama mereka sendiri. “Sampai saya terfikir, kenapa mereka tidak ke masjid dan ada antara kawan yang tidak bersembahyang dan sebagainya, sehingga saya melihat diri saya sebenarnya lebih baik kerana setiap minggu akan mengunjungi rumah ibadat, maksudnya saya lebih baik dan dari situ
saya membenci Islam. "Disebabkan itu jugalah setelah berkenalan dengan teman wanita menyebabkan saya berniat untuk memurtadkannya,” katanya. Terlalu cinta teman wanita Namun wanita yang dikenali dengan nama Nor Azizah itu lebih bijak dan berfikir panjang. Dia yang kini sudah pun bergelar isteri kepada Azley mengakui mengetahui niat Azley untuk menariknya ke dalam agama lain ketika awal perkenalan. “Disebabkan cinta kami bertahan, Azley pada awalnya sudah memberitahu kepada saya niatnya untuk mengahwini saya di rumah ibadatnya, tetapi saya kemudiannya dengan perlahan memberitahunya.
“Jika ingin berkahwin dengan cara itu, apa kata kahwin dulu dengan cara Islam, tapi sebelum berkahwin cara Islam kena belajar mengenai Islam, kalau tidak malu nanti kena tanya dengan tok kadi dan tak tahu jawab,” katanya. Disebabkan terlalu mencintai Nor Azizah, Azley mengakui terpaksa juga ke Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM) bertemu Ustaz Yusuf untuk belajar selok-belok Islam. Dia mengakui datang bertemu dengan ustaz berkenaan dengan ego yang begitu tinggi kerana beranggapan dirinya lebih baik. Islam tidak hina Isa Azley berkata, dia sendiri bersoal jawab dengan ustaz berkenaan dan menganggap soalannya antara yang terbaik bagi melawan kata-kata ustaz berkenaan. Namun sangkaannya meleset, segala jawapan yang diberikan menyentuh jiwanya perlahan-lahan. “Antara yang diberitahu Ustaz Yusuf ialah Islam percaya dengan Nabi Isa, dan itu membuatkan saya terkedu, sedangkan ketika mendengar ceramah agama saya satu ketika dahulu, mereka menghina Nabi Muhammad. “Tetapi Islam tidak pernah menghina Isa, malah menceritakan kehebatan Nabi Isa, saya begitu kagum, dan pada masa itulah saya terfikir, apa beza saya sekarang, sama sahaja. “Pada saat itu juga saya terfikir jika saya putus dengan agama saya sekalipun dan masuk Islam, hubungan saya dengan Isa tidak akan putus, kemudiannya dengan kuasa ALLAH selepas tiga hari menghadiri kelas agama, saya mengucapkan dua kalimah syahadah di Masjid USM,” katanya.

Tidak tanggal rantai
Ceritanya bukan berakhir di situ saja, Azley berkata, terdapat kenangan yang begitu menjadikannya emosional. “Saat saya pergi mengucapkan dua kalimah syahadah di dalam masjid, pada masa itu saya masih tidak menanggalkan rantai lambang agama yang saya pakai, tetapi Ustaz Yusuf langsung tidak melarang dan hanya memerhatikan saya. “Sehinggalah saya pulang ke rumah dan berfikir dan membuat keputusan sendiri tanpa dipaksa, akhirnya sehingga kini Islamlah pegangan saya,” katanya. Walaupun ibu dan ayahnya menjauhi dirinya buat seketika, namun lama kelamaan mereka memahami kepercayaan baru yang dianutinya. Azley bertuah apabila ayahnya sendiri membelikannya sejadah dan menyediakan ruang solat di rumahnya untuk memudahkan Azley bersolat. Tetapi tiada yang lebih bertuah apabila kedua ibu-bapanya itu turut memeluk Islam pada 2011, namun ALLAH lebih menyayangi mereka dan kedua-duanya meninggal pada 2012 namun pada bulan yang berbeza. Di akhir katanya, Azley mengakui dia memilih jalan yang paling benar dan bersyukur apabila melihat anaknya kini dilahirkan sebagai Islam. “Cuma apa yang saya bimbangkan adalah adakah Islam mereka sekadar nama dan benar-benar kukuh, jadi itulah tanggungjawab saya dan isteri untuk mendidik anak memahami agama yang mereka anuti,” katanya - Sinar Harian -

Monday, July 7, 2014

Ayat Al Quran Hilang

8 Julai 14 - Tumpat - Warga Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tumpat, di sini, menerima kejutan apabila mendapati beberapa ayat suci hilang daripada al-Quran milik surau di institusi pengajian peringkat menengah itu.Imam solat terawih di surau MRSM Tumpat, Mohamad Deraman berkata, dua muka surat al-Quran terbabit yang didapati hilang adalah surah Al-Fatihah dan surah Al-Baqarah. Menurutnya, ketika meneliti al-Quran bersaiz 4x8 inci itu, dia mendapati ayat 1 hingga 7 surah Al-Fatihah hilang manakala pada surah Al-Baqarah pula, ayat 1 hingga 4 didapati hilang. "Pada surah Al-Fatihah, yang tinggal hanya kalimah ALLAH dan bunga-bunga akhir ayat. Pada surah Al-Baqarah pula, tinggal hanya perkataan ALLAH dan Robbihin, iaitu nama-nama ALLAH. "Saya harap perkara ini tidak disalah tafsir, sebaliknya diambil sebagai peringatan oleh seluruh umat Islam agar memperbanyakkan amalan membaca al-Quran," katanya. Kejadian itu turut disedari oleh salah seorang pelajar MRSM Tumpat ketika ingin membaca al-Quran itu pada hari ketiga Ramadan. Al-Quran berusia lebih 10 tahun itu diserahkan kepada Mohamad yang merupakan bekas imam Masjid As-Somadi, Geting, dekat sini dan disimpan di rumahnya di Kampung Neting. Kata Mohamad, ini kali kedua dia melihat kejadian ayat al-Quran hilang kerana kejadian sama pernah dilalui ketika belajar di Pondok Pasir Tumboh pada 1998. - Sinar Harian -



Suami Bakar Isteri

7 Julai 14 - Kangar - Pada masa mereka sepatutnya menikmati hidup bahagia berbulan madu, sepasang suami isteri yang baharu seminggu berkahwin sebaliknya sering bertengkar. Puncanya kerana si suami dikatakan cemburu melampau lantaran mengesyaki isterinya main kayu tiga dengan lelaki lain. Pagi semalam, perasaan cemburu itu dipercayai tidak terkawal lagi hingga dia dikatakan bertindak melampaui batas cuba membakar wanita itu. Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, kejadian berlaku di rumah keluarga lelaki itu di Kampung Abi, Padang Machang di sini, kira-kira jam 9.30 pagi semalam. “Pada masa kejadian, seorang jiran mendengar pasangan itu bergaduh besar sebelum bertindak masuk ke dalam rumah berkenaan kerana risau berlaku perkara tidak baik. Dia terkejut apabila melihat suami isteri itu terbakar di dalam bilik air rumah berkenaan,” katanya. Abdul Rahman berkata, berdasarkan siasatan awal , suspek yang juga seorang penganggur berusia 23 tahun itu, dipercayai menyimbah petrol ke badan isterinya sebelum bertindak mencucuh dengan menggunakan pemetik api. “Namun api turut menyambar kaki dan tangannya mengakibatkan dia sendiri turut mengalami kesan terbakar kira-kira 20 peratus," katanya. Menurut Abdul Rahman, mangsa pula mengalami kecederaan akibat terbakar kira-kira 85 peratus berikutan api menyambar bajunya menyebabkan bahagian pinggang dan kakinya terbakar. Katanya, beberapa jiran menolong memadamkan kebakaran sementara menunggu kedatangan bomba dan penyelamat. “Mangsa dihantar ke Unit Rawatan Kebakaran, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk rawatan rapi sementara suspek masih berada di Hospital Tuanku Fauziah dan akan direman untuk membantu siasatan. “Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya. Dalam pada itu, keluarga mangsa sepatutnya mengadakan majlis kenduri kesyukuran semalam bagi menyambut ulang tahun kelahiran wanita tersebut. Nenek mertua mangsa berusia 70-an berkata, mereka sekeluarga sepatutnya mengadakan kenduri kesyukuran sempena hari lahir mangsa yang ke 23 semalam. Bagaimanapun, mereka sekeluarga dikejutkan dengan kejadian berkenaan. Menceritakan semula kejadian, ketika itu, dia baru pulang dari pasar sebelum terdengar jeritan orang meminta tolong dari dalam bilik. “Saya kemudian masuk ke dalam rumah dan melihat badan mangsa sedang terbakar.
“Cucu saya yang cuba memadamkan api itu juga mengalami kecederaan, sebelum membantu mangsa dengan mengambil air dan mencurahkannya ke badan mangsa,” katanya dalam nada sedih. - Sinar Harian -

Solat 2 Imam Serentak Di Masjid

8 Jul 14 - Rantau Panjang – Ramadan yang mulia dicemari dengan insiden di mana berlaku solat membabitkan dua imam serentak di Masjid Pondok Banggol Stol, Meranti semalam. Kejadian sejak 3 Julai lalu, menyebabkan jemaah terbahagi kepada dua kumpulan dan ia berlaku ketika solat fardu dan tarawih. Kebiasaannya kes seumpama ini dikaitkan dengan fahaman politik tetapi lain pula yang berlaku di kampung ini, kerana kedua-dua pihak mendakwa ia berpunca daripada berbezaan fahaman agama Islam. Perselisihan ini membawa kepada percanggahan pendapat seterusnya perebutan saf hadapan di dalam masjid ketika menunaikan solat. Tinjauan mendapati, perpecahan itu bukan sahaja melibatkan jemaah lelaki, malah golongan wanita yang turut terbahagi kepada dua kumpulan dan dibezakan dengan pengadang.
Bagi kumpulan pertama ia diketuai oleh seorang imam dan hampir 30 jemaah menunaikan solat di saf hadapan manakala kumpulan kedua, imam lain menunaikan solat bersama hampir 50 hingga 100 jemaah lain di belakang saf pertama.

Pengakuan kumpulan satu
Pemilik tapak masjid berkenaan, Ustaz Yahya Zakaria berkata, selepas melanjutkan pelajaran di Mesir, dia pulang ke kampung ini dengan harapan dapat menyambung perjuangan bapa (Tok Guru Zakaria) sebelum ini.Menurutnya, ketika itu tiada masalah berlaku sehinggalah pada tahun 2010 apabila penduduk tidak berpuas hati dia menjemput para ulama dari dalam dan luar negara ke kampung ini. “Mungkin mereka tidak berpuas hati kerana kami tidak mengajak mereka bersama menganjurkan majlis meriah seumpama itu. “Bagi saya, saya amat berbangga apabila ramai para ulama seluruh dunia berkumpul di kampung ini namun tidak pada penduduk, apabila terus menerus melempar fitnah kepada saya,” katanya. Beliau yang juga guru di sekolah dekat sini berkata, tiada sebarang perbezaan dilakukan dalam berdakwah mengikut Tarekat Tarjani. Menurutnya, selawat dan solatmengikut ajaran Islam yang sebenar tiada sebarang tokok tambah. Namun katanya, penduduk tidak yakin sehingga sanggup membuat saf baharu meskipun saya bersiap mahu menunaikan solat di masjid ini. “Saya paling kecewa pada 2012 lalu, apabila mereka melarang saya menunaikan solat di dalam masjid yang dibina arwah bapa saya biarpun tanah ini sudah pun diwarisi kepada kami tiga beradik,” katanya. Menurutnya, tindakan penduduk kampung diibaratkan menidakkan hak mereka seterusnya sengaja menimbulkan huru-hara. Disebabkan katanya, dia memfailkan saman di Mahkamah Tinggi agar tidak membenarkan penduduk menjejakkan kaki ke dalam masjid ini pada 12 Disember tahun lalu.

Kumpulan kedua beri penjelasan
Sementara itu, seorang penduduk, Mohd Nor Razali berkata, kejadian ini bermula pada 2010 lalu namun mula memuncak pada 2011 sehingga 2012 lalu. Ketika itu katanya, penduduk dipelawa mengikut ajaran tarekat berkenaan namun kebanyakannya tidak yakin seterusnya tidak mengikut saranan yang dibawa oleh Ustaz Yahya Zakaria. Beberapa lama selepas itu, Mohd Nor mendakwa Ustaz Yahya membuat perintah mahkamah agar tidak mmbenarkan 13 penduduk menunaikan solat di masjid ini bermula akhir tahun lalu. Memandangkan masjid ini dibina di atas tanah hak milik tiga anak Allahyarham Tok Guru Zakaria, maka penduduk dilarang menjejakkan kaki di pekarangan masjid kerana didakwa boleh mencetuskan perselisihan. Namun pada 1 Julai lalu, mahkamah membenarkan penduduk menunaikan solat terawih sepanjang Ramadan tahun ini. Menurutnya, jemaah dari kumpulan Ustaz Yahya juga tidak menghalang penduduk memasuki masjid namun keengganan berganjak dari saf depan menyebabkan kejadian solat dua imam serentak. Katanya, penduduk sukar tunaikan solat Maghrib selepas majlis berbuka puasa kerana kumpulan pertama enggan berganjak dari saf hadapan. Maka katanya, jemaah terpaksa membuat saf baharu, satu saf di belakang kumpulan pertama untuk solat Maghrib, Isyak dan solat tarawih. “Mereka hanya duduk di hadapan saf tanpa tunai solat terlebih dahulu dan mendakwa sedang berselawat. “Disebabkan waktu Isyak semakin menghampiri, maka kami terpaksa menunaikan solat di belakang saf mereka, tanpa menunggu mereka selesai berselawat,” katanya. Keadaan ini katanya, turut berpanjangan sehingga ke solat tarawih membabitkan jemaah yang sama, mengikut dua imam berlainan. Sementara itu, penduduk, Ismail Awang, 75, berkata, di masjid seramai 500 jemaah dapat menunaikan solat dalam satu-satu masa. Namun katanya, insiden ini menyebabkan ramai tidak dapat menunaikan solat sekali gus menyukarkan penduduk untuk beribadah di bulan Ramadan. Sementara itu, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) akan menyiasat punca berlakunya insiden solat dua imam serentak di masjid berkenaan. Timbalan Yang Dipertua Maik, Datuk Ir Yusoff Ismail berkata, sebelum ini pihaknya tidak terima selaporan berhubung kejadian ini. Namun katanya, Maik akan hantar pegawai untuk mengetahui masalah yang berlaku membabitkan dua pihak terbabit seterusnya mencari jalan penyelesaian kes berkenaan. “Insiden ini tidak sepatutnya berlaku terutama ketika bulan Ramadan malah berlaku di dalam rumah ALLAH,"katanya. - Sinar Harian -