11 Julai 14 - GAZA - Hari ini adalah hari keempat Zionis melancarkan serangan di wilayah
Gaza. Serangan kotor mencemarkan kesucian Ramadan itu begitu dirasai penduduk
dunia terutama Malaysia. ‘Laknatullah Zionis!’ dan ‘Berdoa untuk Gaza’
antara bait kata paling banyak digunakan di laman media sosial untuk melahirkan
kebencian dan kesedihan terhadap apa yang berlaku di bumi Palestin
kini.
Angka korban terus meningkat
Serangan
udara Israel di selatan dan tengah Genting Gaza meragut 20 lagi nyawa semalam
termasuk tujuh wanita dan kanak-kanak menjadikan angka korban sejak tiga hari
lalu melonjak kepada 72 orang dan lebih 500 orang lagi cedera
parah. Jurucakap perkhidmatan kecemasan Ashraf al-Qudra memaklumkan,
dalam serangan pertama awal pagi semalam berlaku di sebuah kedai kopi di bandar
Khan Yunis menyebabkan enam lelaki terbunuh dan sekurang-kurangnya 15 yang lain
cedera. “Selang enam minit kemudian Zionis sekali lagi melancarkan
serangan ke atas kem pelarian Nusseirat di tengah Gaza diikuti tiga minit
kemudian serangan menyasarkan dua rumah di Khan Yunis hingga mengorbankan tujuh
orang dengan tiga wanita dan empat kanak-kanak,” katanya. Difahamkan,
puluhan siren serangan roket kedengaran dan dilihat menghujani wilayah Palestin
yang dikepung awal pagi semalam dalam operasi digelar Operasi Perlindungan
Sempadan Israel. Operasi itu adalah kempen ketenteraan terbesar terhadap
Gaza sejak 2012. Media tempatan melaporkan, pihak berkuasa Israel sebagai
berkata, lebih daripada 200 roket ditembak ke Israel dari Gaza sejak Isnin lalu
dengan beberapa serangan terbabit mencapai ke Tel Aviv. Serangan itu
bagaimanapun dibalas dengan 550 bedilan roket dan serangan jet Israel dan
memusnahkan sebahagian Bandar Gaza, Beit Hanoun dan Khan Younis. Menerusi
paparan stesen televisyen antarabangsa, kelihatan puluhan kereta perisai Israel
terus membuat rondaan di sempadan Gaza, selepas Kabinet menggerakkan 40,000
pasukan simpanan tentera mereka untuk melancarkan serangan darat. Namun,
sehingga jam 8 malam waktu Malaysia, kesemua askar terbabit masih belum
melakukan serangan darat dan dipercayai hanya menanti arahan dari pihak
atasan. Bagaimanapun, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu
berterusan mengugut dan melakukan provokasi dengan menyatakan serangan akan
dilakukan pada bila-bila masa. “Serangan ini tidak perlu diwar-warkan,
jika semua pihak sudah mengetahui waktu serangan maka ia bukan lagi disebut
serangan. Saya hanya menanti masa sesuai untuk mengarahkan 40,000 askar
bertindak,” katanya dengan angkuh ketika ditemu bual media
tempatan.
Serangan roket setiap
minit
Sehingga semalam, lebih 200 serangan jarak jauh sudah
dilakukan oleh Zionis ke Gaza. Mengikut laporan siaran langsung
Al-Jazeera, sebanyak 38 serangan roket dibuat bermula jam 12.30 malam hingga
3.30 petang (waktu tempatan) jumlah itu berkurangan berbanding hari kedua dengan
53 serangan roket dilancarkan dalam tempoh 24 jam dan 54 serangan roket pada
Isnin lalu. Media sama turut melaporkan, penduduk bertempiaran lari
menyelamatkan diri setiap kali terdengar siren pelancaran roket. Penduduk
tempatan, Muhammad Ali, 56, berkata, setiap kali terdengar bunyi siren mereka
sekeluarga berpegangan tangan dan hanya menanti di manakah roket itu akan
mendarat. “Hidup kami terseksa sejak tiga hari lalu. Terdengar sahaja
bunyi siren, saya akan dengar ramai jiran dan rakan-rakan berteriak Allahu
Akbar! dan Syahid! Kanak-kanak pula akan menangis dan menjerit. Golongan ibu
akan memeluk erat anak mereka. Saya tidak tahu sampai bila kami harus terus
hidup sebegini,” katanya. Baginya, Ramadan ini adalah ujian paling getir
berbanding situasi sama yang pernah dialaminya ketika Intifada Pertama 27 tahun
lalu.
PBB kutuk serangan
Awal pagi kelmarin,
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Ban Ki-moon memberikan
taklimat kecemasan kepada Majlis Keselamatan PBB bagi membincangkan situasi
tidak menentu di wilayah Gaza. “Nyawa Gaza umpama pisau di hujung tanduk.
Saya secara peribadi mengutuk keras serangan roket dilancarkan Israel. Serangan
tidak boleh diterima dan mesti dihentikan segera. Saya menggesa Perdana Menteri
Netanyahu untuk melakukan pengendalian maksimum dan menghormati hak asasi
antarabangsa untuk melindungi orang awam, “ katanya. Menurutnya, kini
adalah masa tepat untuk pemimpin keanggotaan memainkan peranan dan menggunakan
kuasa yang ada untuk menghentikan tindakan kejam Zionis. “Saya menggesa
Presiden Mesir, Abdel Fattah Al-Sisi untuk membantu memudahkan proses gencatan
senjata seperti yang pernah dilakukan pada November 2012. Gaza dan negara
serantau secara keseluruhan sudah tidak mampu untuk menghadapi perang
besar-besaran,” katanya.
Intifada ketiga?
Jika benar dakwaan Netanyahu
untuk mengerakkan 40,000 askarnya, maka tidak mustahil Intifada ketiga akan
berlaku jika tiada pihak tampil menawarkan usaha untuk gencatan
senjata.Mengimbau episod luka pada November 2012 ketika perang lapan
hari yang mengorbankan 164 nyawa, serangan itu dihentikan hasil usaha bekas
Presiden Mesir Mohammad Mursi yang ketika itu menjadi orang tengah antara
Palestin dan Israel. Kini, serangan udara sudah dilakukan, serangan laut
dan darat sedang siap sedia dan tidak mustahil akan berlaku peperangan besar
jika negara dunia terus berdiam diri.Adakah permintaan PBB untuk meminta
bantuan Al-Sisi bakal membuahkan kejayaan? Semalam sahaja, beliau mengarahkan 19
terowong di sempadan Mesir-Gaza dimusnahkan. Oleh itu, adakah Al-Sisi boleh
bertindak seperti Mursi? - Sinar Harian.

No comments:
Post a Comment