15 Julai 14 - Kuala Terengganu: Seorang pekerja salun rambut bukan saja menanggung
kesakitan apabila dibelasah tanpa sebab, tetapi turut menanggung malu apabila
aksinya dipukul dirakam dalam kejadian berhampiran sebuah salun rambut di Jalan
Sultan Sulaiman, di sini, Khamis lalu. Menurut sumber, kejadian dipercayai
berlaku jam 12.30 tengah hari ketika remaja perempuan berusia 17 tahun berada di
tempat kerjanya sebelum didatangi seorang perempuan yang memanggilnya supaya
mengikutinya ke sebuah lorong kecil berhampiran kedai mangsa. Katanya, mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa akur dengan arahan
wanita terbabit dan sebaik sampai di lokasi yang dimaksudnya, wanita terbabit
menuduh mangsa menfitnahnya. Terkejut dengan tuduhan itu, mangsa menafikan dakwaan itu dan tindakan itu
menyebabkan suspek naik angin sebelum memukul mangsa menggunakan topi
keledar. Belum sempat mangsa berbuat apa-apa, seorang lagi rakan suspek muncul sebelum
tiba-tiba menyepak dan memukul mangsa beberapa kali,” katanya. Sumber berkata, selain dibelasah, mangsa mendakwa seorang lagi rakan suspek
turut merakam aksi dia dibelasah tanpa menghiraukan rayuan mangsa yang minta
dilepaskan. Katanya, selepas puas membelasah mangsa, semua suspek beredar meninggalkan
mangsa yang sedang kesakitan. Sebelum beredar, suspek turut mengugut akan memukul mangsa lagi sambil
mengingatkan perkara itu belum selesai lagi menyebabkan mangsa ketakutan,”
katanya. Susulan kejadian itu, mangsa yang bimbang keselamatannya membuat laporan di
Balai Polis Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut. Difahamkan, lima suspek berusia 18 hingga 30-an yang dipercayai terbabit
dalam kejadian itu ditahan polis beberapa jam selepas laporan dibuat bagi
membantu siasatan. - Malaysian Insider -
No comments:
Post a Comment