16 Julai 14 - KUCHING - Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan
berbincang dengan Ketua Setiausaha Kementeriannya, Ketua Pengarah Imigresen dan
Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara berhubung tawaran menjadikan Muhammad
Jamaluddin sebagai anak angkat. Beliau berkata, perbincangan dengan
ketiga-tiga pihak adalah berkaitan proses perundangan dan dokumentasi yang
diperlukan untuk menjadikan remaja itu anak angkat. Muhammad, 16 yang
kini menjalani hukuman penjara di Penjara Machang, Kelantan menarik perhatian
ramai di laman media sosial kerana kebolehannya menghafaz al-Quran dan menjadi
imam di penjara itu. "Ada beberapa tawaran juga untuk mengambil beliau
(Muhammad) sebagai anak angkat, tetapi elok saya berbincang bagaimana supaya
proses legalisasi dokumentasi dapat dijalankan terlebih dahulu sebelum mengambil
sebagai anak angkat," katanya. Ahmad Zahid berkata demikian dalam sidang
akhbar selepas berucap pada Majlis Berbuka Puasa bersama warga kementerian di
Masjid Al-Mujahiddin Kompleks Perumahan Polis, Tabuan Jaya di sini hari
ini. Bagaimanapun, beliau menegaskan beliau tidak akan mencampuri urusan
mahkamah yang telah menjatuhkan hukuman enam bulan penjara ke atas Muhammad
kerana kesalahan berada di Malaysia melebihi tempoh. "Urusan menghukum
ini adalah urusan mahkamah, maka saya tidak boleh menghina mahkamah dengan
mengenepikan apa yang diputuskan" katanya. Muhammad pada mulanya disangka
seorang remaja Rohingya, namun hasil siasatan mendapati ibu remaja itu merupakan
warganegara Thailand manakala bapanya dari Kemboja. Ahmad Zahid
mengarahkan Ketua Setiausaha kementeriannya Datuk Mohamad Khalid Shariff dan
Ketua Pengarah Imigresen Aloyah Mamat ke penjara itu untuk mendapatkan maklumat
lanjut mengenai kebolehan Muhammad yang menarik minat pengikut laman media
sosial. - Bernama.

No comments:
Post a Comment