15 Julai 14 - RAUB - Sepasang suami isteri maut selepas kereta yang dinaiki mereka
bertembung dengan sebuah van di Kilometer 332 Jalan Kuala Lumpur - Kota Bharu
berhampiran Kampung Rokam, Sega, Dong di sini hari ini. Ketua Polis Daerah, Supritendan Wan Mohd. Samsudin Wan Osman berkata,
kejadian kira-kira pukul 1.15 petang itu berlaku ketika mangsa, Muen Mokhtar,
76, dan isterinya, Esah Mat Nila, 72, dalam perjalanan ke arah Kuala Lipis. "Sebaik tiba di sebuah selekoh, kereta dipandu mangsa telah bertembung dengan
sebuah van membawa muatan kelapa dari arah Raub. "Pelanggaran terbabit menyebabkan van yang datang dari arah bertentangan itu
terbabas dan terbalik ke kiri jalan serta terbakar," katanya. Sementara itu, Wan Mohd. Samsudin berkata, kedua-dua mangsa yang tersepit di
dalam kereta meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu van mengalami
kecederaan parah. Tambahnya, mangsa yang maut dibawa ke Hospital Raub untuk bedah siasat
manakala pemandu van mendapat rawatan di hospital yang sama. Dalam pada itu, beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta
Pengangkutan Jalan 198 dan siasatan masih giat dilakukan. "Kita meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya
tampil ke Balai Polis Trafik atau berhubung dengan pegawai penyiasat bagi
membantu siasatan," ujarnya. - Utusan Malaysia -

No comments:
Post a Comment