16 Julai 14 - GAZA CITY - Hanya beberapa jam selepas mempersetujui gencatan
senjata, Israel sekali lagi mencabul perjanjian itu apabila melancarkan dua
serangan udara ke Genting Gaza hari ini. Perkara itu turut disahkan oleh jurucakap tentera Israel, Leftenan Kolonel
Peter Lerner. "Tentera Israel melancarkan bedilan ke Gaza pada pukul 3 petang ini (waktu
tempatan)," katanya. Terdahulu, pergerakan Hamas dan sayap bersenjatanya, Briged al-Qassam menolak
cadangan gencatan senjata yang dicadangkan Mesir selepas sangsi dengan keputusan
Israel melaksanakan rancangan tersebut, ketika angka korban akibat konflik itu
meningkat kepada 192 orang. Jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri berkata, pihaknya sangsi dengan janji Mesir
dan Israel untuk mengurangkan sekatan di sempadan memandangkan perkara itu
merupakan sebahagian daripada perjanjian damai bagi menamatkan pertempuran pada
2012, yang tidak pernah dilaksanakan. "Kami bukan sahaja mahu supaya serangan ini ditamatkan, tetapi juga
ketidakadilan yang telah kami lalui sejak berpuluh-puluh tahun lalu. "Isu ini bukan hanya tentang gencatan senjata. Perkara paling penting adalah
bagaimana kestabilan serta hak rakyat Palestin dapat dikembalikan agar kami
dapat hidup dalam keadaan normal," katanya. Briged al-Qassam dalam laman webnya juga menyatakan, pihaknya akan meneruskan
perjuangan mempertahankan penduduk Palestin sehingga objektif mereka
tercapai. Dalam reaksinya kepada perkara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin
Netanyahu berikrar akan memperluaskan kempen ketenteraan terhadap Gaza jika
Hamas terus menolak gencatan senjata. "Sekiranya Hamas tidak menerima usul gencatan senjata, Israel dengan bidang
kuasa yang ada tidak teragak-agak memperluaskan aktiviti ketenteraan di Gaza
bagi mencapai matlamat kami," katanya. Israel memulakan gencatan senjata sebelah pihak pada pukul 9 pagi ini waktu
tempatan (2 petang waktu Malaysia). Beberapa jam sebelum gencatan senjata dilaksanakan, sebanyak enam rakyat
Palestin maut sebelum rejim Yahudi itu menerima cadangan gencatan senjata. -
Reuters/AFP.

No comments:
Post a Comment