11 Jun 14 - KUALA LUMPUR - Kerajaan memandang serius kes kemasukan berulang atau
residivis dalam kalangan banduan yang dipenjara. Menteri Dalam Negeri,
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, statistik Jabatan Penjara Malaysia
bagi tahun lalu menunjukkan 6,769 banduan kes berulang. "Daripada jumlah
tersebut, seramai 5,553 banduan merupakan banduan kes jenayah manakala 1,216
banduan kes berkaitan dadah. "Tempoh hukuman penjara bagi
kesalahan-kesalahan tersebut bermula dari hukuman singkat ( bawah enam bulan)
sehinggalah kepada hukuman seumur hidup (30 tahun)," katanya yang menjawab
soalan Ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa, hari ini. Er Teck Hwa meminta
kementerian menyatakan jumlah banduan yang ditahan di penjara bagi kesalahan
kali pertama, kedua, ketiga dan keempat mengikut pecahan jenis kes jenayah dan
hukuman. Menurut Ahmad Zahid, Jabatan Penjara Malaysia sentiasa
menambahbaik program pemulihan supaya banduan tidak kembali melakukan jenayah
selepas dibebaskan.
"Kementerian memandang serius kes kemasukan berulang
kes kemasukan berulang di kalangan banduan dan telah menetapkan kadar residivis
sebagai tanda aras prestasi kementerian. "Untuk makluman, kadar residivis
bagi tahun 2013 ialah 7.61 peratus iaitu masih di bawah kadar residivis yang
telah ditetapkan oleh kementerian iaitu 9 peratus," katanya. - Sinar Harian
No comments:
Post a Comment