16 Julai 14 - SHAH ALAM – “Mana duit? Jangan jerit, nanti aku bunuh!” Amaran dua penjenayah sambil mengacukan parang benar-benar menakutkan dua pekerja sebuah butik di Seksyen 7 di sini sehingga mereka tidak mampu berbuat apa-apa. Pemilik butik yang dikenali sebagai Amira, 30, berkata, kejadian Selasa lalu menyebabkan dia kerugian RM80,000. Amira berkata, dua lelaki yang menaiki motosikal itu berlegar-legar di luar butik berkenaan jam 11.36 pagi, sebelum memecah masuk butik itu. “Dua lelaki yang berusia dalam lingkungan 20-an itu merentap pintu yang berkunci, sebelum masuk ke dalam butik dan mengeluarkan parang yang disembunyikan dalam beg,” katanya. Menurutnya, suspek mengacukan parang ke arah leher pekerjanya sambil mengarahkannya menyerahkan barang kemas dan wang tunai. “Lelaki itu membawa lari dua komputer riba, telefon bimbit, barang kemas dan wang tunai. Kerugian dianggarkan RM8,000,” katanya. Amira berkata, dia bersyukur kedua-dua pekerjanya yang berusia 24 dan 27 tahun itu selamat. “Mereka segera menghubungi saya bagi memaklumkan kejadian itu. Mereka kemudian membuat laporan di Balai Polis Seksyen 9, di sini,” katanya. Menurutnya, polis mengambil kesan cap jari dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di butik itu, bagi membantu siasatan. “Saya turut memuat naik rakaman CCTV itu dalam laman sosial Facebook supaya orang ramai dapat membantu siasatan,” katanya. Rakaman berdurasi selama 3.22 minit itu menunjukkan kedua-dua lelaki itu mengarahkan dua pekerja berkenaan masuk ke dalam sebuah bilik, sebelum penjenayah terbabit mengambil barangan peribadi milik mangsa. Jurucakap polis berkata, pihaknya juga merakamkan keterangan mangsa bagi membantu siasatan. Orang ramai yang mengetahui maklumat berhubung kejadian itu boleh tampil ke balai polis berhampiran.- Sinar Harian -.