10 Julai 14 - BUKIT MERTAJAM - Seorang warga emas disamun dua utas rantai emas ketika menyiram pokok bunga di laman rumahnya di Permatang Kebun Sireh di sini Khamis lepas. Kejadian berlaku kira-kira jam 8.50 pagi apabila Salmah Saab, 72, didatangani enam lelaki yang menaiki tiga buah motosikal."Pada mulanya mak cik ingat mereka kawan-kawan anak mak cik dan mak cik biarkan sahaja mereka sebelum dua daripada mereka memeluk dan menekup muka mak cik sehingga menyebabkan mak cik sukar bernafas. "Seorang daripadanya menarik dua rantai emas yang mak cik pakai sebelum melarikan diri," katanya kepada pemberita semasa menerima kunjungan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, SAC Mazlan Kesah di rumahnya hari ini. Beliau berkata ketika kejadian beberapa anggota keluarganya berada di dalam rumah tetapi mereka tidak menyedari kejadian itu kerana pintu rumah tertutup. "Mak cik rugi RM13,000 dan leher mak cik luka," kata Salmah. Mazlan sebelum itu turut melawat N. Letchemy, 70, yang juga disamun dua lelaki dan seorang wanita yang menyamar sebagai pegawai banci di rumahnya di Permatang Batu, Bukit Tengah di sini Selasa lepas. Dalam kejadian jam 3 petang itu, mereka melarikan wang tunai RM10,000, beberapa utas rantai dan cincin emas miliknya. "Bila mereka masuk rumah saya, seorang daripadanya suruh saya duduk diam manakala dua lagi geledah rumah saya dan jumpa duit serta barang kemas saya," katanya. Mazlan berkata usaha mengesan mereka yang terlibat dalam dua kejadian itu giat dijalankan dan menasihati suri rumah terutama warga emas agar tidak melayan mana-mana pihak yang tidak dikenali. - Bernama.